Wednesday, December 3, 2008

Penghayatan Korban Dalam Perjuangan


Muqaddimah

Aidil Adha 1429 bersamaan 8 hb Disember 2008. Banyak binatang ternakan akan dikorbankan sebagai satu amalan sunat muakkad yang dituntut kepada mereka yang berkemampuan. Sunnah korban yang dilakukan sebagai mengimbau kembali peristiwa yang berlaku kepada nabi Ibrahim A.S. dan Nabi Ismail A.S.

Kedua-dua beranak ini menjalankan arahan Allah, walalupun nabi Ibrahim terpaksa mengorbankan anaknya nabi Ismail AS. Perbuatan yang dilakukan sebagai satu pengabdian diri kepada Allah SWT seperti dalam surah al-Saaffat 37: 107 “ Dan kami tebuskan anak itu dengan seekor sembelihan yang besar”. Setelah nyata kesabaran dan ketaatan Nabi Ibahim A.S dan Nabi Ismail A.S. maka Allah SWT melarang menyembelih Nabi Ismail A.S. Untuk meneruskan korban , Allah menggantikannya dengan seekor sembelihan (kambing). Peristiwa ini menjadi dasar disyariatkan korban pada hari raya haji dan hari tasyrik.

Daripada sini kita memahami bahawa pensyariatan qurban ialah satu ibadah untuk mendekatkan diri dengan Allah SWT tanpa apa-apa keraguan. Walaupun Allah SWT ,memerintahkan nabi Ibahim menyembelihkan anaknya, maka lantas ia melakukan tanpa apa-apa keraguan untuk melaksanakannya. Justeru itu apabila kita mengingatkan peristiwa qurban bukan hanya berbangga dengan berberapa ekor binatang yang disembelih, tetapi lebih kepada pengahayatan semula terhadap konsep korban yang ditunjukkan oleh nabi Ibrahim dan nabi Ismail A.S.

Jika sekiranya Nabi Ibrahim AS menyembelih anaknya kerana ia adalah arahan Allah SWT, maka kita sebagai pengikut agama tauhid seperti yang diajar oleh Nabi Ibrahim AS maka menjadi kewajipan kepada kita untuk menghayati falsafah korban dalam konteks perjuangan Pas untuk menegakkan Islam dan keadilan sejagat. Justeru itu dalam konteks perjuangan ia tidak boleh memakai kaedah logik dan akal semata-mata, tetapi ia mesti berpandukan kepada wahyu Allah SWT. Sembelih anak ini bukan perkara logik, tetapi nabi Allah Ibrahim A.S melaksanakan kerana ini arahan Allah SWT. Justeru itu renungan kita sebagai pejuang, di mana Allah SWT tidak memerintahkan kita menyembelihkan anak, tetapi hanya untuk berkorban apa sahaja untuk Islam dan demi kelangsungan perjuangan agama Allah SWT.

Tidak disebut perjuangan kalau tanpa pengorbanan. Kerana Islam tidak menang kalau tidak ada pengorbanan di kalangan para Rasul dan Nabi-Nabi A.S. Merekalah orang yang paling banyak diuji oleh Allah SWT.

Sabda Rasulullah SAW, Bermaksud

“Orang yang paling dahsyat menerima ujian adalah para nabi, kemudian orang yang seumpamanya”

Dalam konteks kedatangan Islam di negara kita, Islam sampai melalui pengorbanan yang dilalui oleh mereka yang terdahulu mengharungi lautan dan ombak badai yang memukul perjalanan mereka. Kerana Islamlah, mereka sanggup bekorban apa sahaja.


Realiti Perjuangan Dan Pengorbanan Dalam PAS


· Bukan senang berjuang dengan Pas sebagai sebuah jamaah Islam dan menjadi parti yang sentiasa mencabar kemungkaran yang dilakukan oleh Umno/BN. Kuasa yang mempunyai segala kekuatan material dan sokongan. Tetapi kita memimpin PAS berbekal kekuatan iman dan aqidah yang mantap dengan keyakinan mendapat kemenangan di akhirat.

· Hendak memimpin ummat kearah penghayatan Islam yang syumul bukan hanya dalam bentuk hadhari sahaja. Satu cabaran kepada kita kerana, kita memimpin jamaah yang mengajak kepada perkara samiyyat bukan kepada kebendaan semata-mata. Pihak musuh menawarkan perkara yang nampak di depan rakyat.

· Terpaksa mengorbankan segala wang ringgit dan harta benda untuk perjuangan supaya cita-cita suci tercapai. Kerana Pas tidak dibantu oleh tauke arak dan judi, tetapi dibantu oelh tulang empat kerat ahlinya yang komited dengan fikrah perjuangan.

· Sudah menjadi lumrah dalam perjungan Pas, terpaksa mengorbankan masa untuk memikirkan Islam dapat dihayati dengan baik oleh masyarakat di negara ini.

· Terpaksa mengorbankan kenaikan pangkat dalam profesion yang diceburi walaupun kita mempunyai merit untuk naik. Tetapi dasar pilih kasih dan tidak demokratik perkara ini perlu dilupakan sahaja. Terdapat juga mereka yang hendak membina kerjaya terpaksa berundur dan melupakan perjuangan walaupun pada asalnya begitu bersemangat.

· Kadang-kadang terputus tali persaudaraan kerana menyertai perjuangan Pas. Mereka menganggap perjuangan Pas anasir perosak Negara kerana terpengaruh dengan media di hadapan mereka.

· Realiti dalam Pas ramai pengikut tapi kurang orang yang hendak kedepan memimpin kerana takut dengan berbagai ugutan. Akhirnya seorang ahli terpaksa memikul tugas yang bertimbun-timbun.

· Realiti yang dihadapi oleh pejuang Pas masa yang begitu kurang dengan anak-anak. Justeru itu anak-anak perlu diberi tarbiah inilah perjuangan Pas supaya mereka memahami tugas ini adalah satu pengorbanan untuk kesenangan mereka pada masa hadapan.

· Oleh kerana Pas sebagai sebuah gerakan ummah maka keahliannya terbuka. Ini satu pengorbanan yang besar kepada mereka yang memimpin Pas untuk menguruskan ahli yang berbagai status untuk disesuaikan dengan piawai standard minimum sahaja.

· Pengorbanan seorang ahli Pas ialah apabila ia menghilangkan sikap ego ketika bersama dengan Pas kerana mera’i ahli Pas yang berbagai latar belakang. Walau pun beliau bijak macam mana pun dia perlu menurunkan darjat ananiah (keakuanku sahaja) daripada dirinya. Kerana yang ia memimpin ini satu jamaah Islam, bukan badan kerajaan atau swasta, bukan gerakan elit, sebaliknya memimpin sebuah jamaah yang ahlinya bekerja secara sukarela bukan ada gaji.


Bagaimana Untuk Menjadi Ahli Pas Yang Bekorban Untuk Islam.


Menjauhkan diri dari melakukan maksiat sama ada yang besar atau yang kecil kerana ini merupakan penghalang besar untuk menjadi pejuang.

· Memberikan perhatian mengenai sunnah perjuangan Islam (PAS) adalah payah. Bukan di hampari dengan permaidani merah.

· Bersedia untuk berhadapan dengan halangan

· Sentiasa mendampingi orang soleh dan berjiwa besar

· Sentiasa mengkaji dan merujuk buku-buku sirah

· Sentiasa mengingati mati dan siksa kubur

· Sentiasa mengingati syurga dan neraka ini adalah balasan terakhir manusia

· Melakukan muhasabah keatas diri dan mengkaji setiap masa

· Keinginan diri sendiri untuk mempertingkatkan kerja parti.· Mesti merasakan kita boleh seperti orang lain boleh.

· Merasa diri bersalah dengan Allah apabila melihat kemungkaran dan kezaliman bermaharajalela.


Kesimpulan


Konsep pengorbanan perlu dihayati oleh pejuangan Pas, walaupun bulan korban sudah hendak meninggalkan kita. Keberkesanan akan dapat dilihat dalam diri, keluarga, jamaah apabila kita benar-benar menghayati falsafah korban.

Wednesday, November 19, 2008

Tokku Paloh memerangi jenayah aqidah di Terengganu


SAYYID Abd. al-Rahman Muhammad Zayn al-Idrus atau lebih dikenali sebagai Tukku Paloh merupakan tokoh ulama dan umarak yang terkenal di Terengganu sekitar hujung kurun ke-19 hingga awal kurun ke-20.

Tukku Paloh yang dilahirkan pada 1817 disanjung tinggi kerana sumbangannya terhadap perkembangan politik, semangat patriotisme, keilmuan serta pelaksanaan hukum-hukum Islam di negeri tersebut.

Beliau yang dilahirkan di Kampung Cabang Tiga, Kuala Terengganu dan meninggal dunia pada 1918 juga amat disegani ramai hingga kini lantaran kesungguhannya melaksanakan hukum-hukum Islam.

Kesungguhan nasab ke-32 daripada keturunan Nabi Muhammad s.a.w. ini dalam melaksanakan hukum Islam di Terengganu dapat dilihat menerusi sebuah kitab tulisannya yang berjudul Ma’arij al-Lahfan li al-Taraqqi iq al-Irfan.

Kitab itu antara lain memperlihatkan sikap Tukku Paloh yang cukup serius terutamanya dalam memerangi jenayah aqidah yang berleluasa berlaku ketika di zamannya itu.

Sebagai contohnya, beliau menekankan tentang bahaya amalan masyarakat ketika itu yang mengamalkan main peteri iaitu suatu upacara mengubati pesakit melalui perubatan tradisional.

Menurut beliau dalam kitab itu, main peteri atau main bageh mempunyai unsur-unsur kurafat yang menggaitkan hantu dalam mengubati sesuatu penyakit telah membelenggu aqidah masyarakat di sana sejak sekian lama.

Banyak mazhab sesat dan penyelewengan aqidah yang didedahkan oleh Tukku Paloh menerusi kitab itu di mana ia menggambarkan senario yang berlaku di Terengganu pada ketika itu.

Rafidiyah, Kharijiah, Qadariyah, Jabariyah, Jahimiyah dan Murji’ah merupakan enam mazhab sesat yang mendapat tumpuan beliau menerusi kitab tersebut.

Mazhab-mazhab itu merupakan asas kepada kelompok-kelompok lain yang berpecah daripada aqidah yang sama di mana setiap satunya berpecah kepada 12 kumpulan.

Natijahnya, jumlah semua kumpulan itu menjadi 72 kumpulan. Ia sebenarnya berdasarkan sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud:

“Demi Tuhan yang menguasai jiwa Muhammad akan berfirqah (berpecah) umatku sebanyak 73 firqah. Satu firqah masuk ke dalam syurga dan 72 firqah masuk ke dalam neraka. Sahabat bertanya: Siapakah yang masuk ke dalam syurga itu wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Firqah yang masuk ke dalam syurga itu ialah Ahli al-Sunnah wa al-Jama’ah” - Riwayat al-Tabrani.

Peranan Tukku Paloh itu bukan setakat banyak membantu mengubah senario kefahaman agama dalam masyarakat tetapi ia turut terus menjadi bahan kajian ramai sarjana hingga ke saat ini.

Antaranya pensyarah Jabatan Kesusasteraan Melayu, Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Kuala Lumpur (UM), Mohd. Taufik Arridzo Mohd. Balwi menerusi kertas kerjanya yang bertajuk Tukku Paloh : Kesungguhannya Memerangi Jenayah Aqidah Di Terengganu.

Ia dibentangkan pada Siri Seminar Bulanan Naskhah Melayu 2008 Siri Ke-14 yang dipengerusikan oleh Profesor Kanan Jabatan Kesusasteraan Melayu, Akademi Pengajian Melayu, UM, Prof. Datuk Dr. Abu Hassan Sham.

Sumbangan

Kertas kerja itu merupakan sebahagian daripada tesis doktor falsafah beliau yang memfokuskan tentang sumbangan Tukku Paloh dalam membetulkan aqidah umat Islam ketika itu.

Jelas Mohd. Taufik, tokoh terbilang itu misalnya, melaksanakan hukum Islam ketika dilantik oleh Sultan Zainal Abidin III mentadbir daerah Sungai Nerus di Terengganu.

“Daripada kajian yang saya jalankan tentang Tukku Paloh, saya difahamkan beliau seorang pentadbir yang serius dalam menjalankan hukum Islam secara menyeluruh di daerah tadbirannya itu.

“Ketika zaman Tukku Paloh, ada bukti yang menunjukkan hukuman seperti potong tangan kerana kesalahan mencuri telah dilaksanakan di negeri Terengganu,” katanya ketika ditemui selepas membentangkan kertas kerja tersebut di UM, Kuala Lumpur.

Tukku Paloh bersungguh-sungguh dalam melaksanakan hukum-hukum Islam terutamanya dalam membetulkan aqidah umat Islam yang boleh dianggap perkara tunjang yang patut diberi perhatian utama.

Apatah lagi, katanya Allahyarham merupakan salah seorang penasihat utama Sultan Zainal Abidin III yang menasihati baginda dalam hal-hal pentadbiran Kerajaan Negeri Terengganu.

Senario itu memberi kelebihan kepada Tukku Paloh berdasarkan kebolehannya yang luas dalam bidang keilmuan Islam, apatah lagi ketika itu institusi ulama banyak mencorakkan sistem pemerintahan kerajaan di sana.

Sebagai contohnya, Tukku Paloh pernah diberi peranan menyusun dan seterusnya mewujudkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Terengganu bagi melancarkan lagi sistem pemerintahan di negeri itu.

Ma’arij al-Lahfan li al-Taraqqi ila Haqa iq al-Irfan atau maksudnya Tangga Bagi Orang Yang Sangat Dahaga Ia Bagi Orang Yang Naik Ia Kepada Martabat Segala Hakikat Makrifat itu merupakan kitab yang dikaji oleh Mohd. Taufik sejak 2006.

Kitab yang ditulis pada 1900 itu kini hanya boleh didapati dalam bentuk salinan di mana versi pertamanya didapati daripada cucu Tukku Paloh iaitu Tukku Paloh Tuan Baru pada 2004.

Sesuai dengan budaya setempat, terdapat unsur bahasa dialek Terengganu yang tercatat dalam perkataan-perkataan dan ayat-ayat dalam kitab ini.

Misalnya, perkataan lipah yang bermaksud lipas, setuh (sentuh), papang (papan), pihok (pihak), kasu (kasut), kerijakan (kerjakan), anok (anak), mekapuskan (menghapuskan) dan sebagainya.

Berdasarkan contoh tersebut ia menjelaskan lagi tentang pengaruh dialek Terengganu. Pada umumnya, perkataan-perkataan dalam bahasa Melayu diakhiri dengan sebutan ‘n’ tetapi dalam sebutan Terengganu ia diakhiri dengan sebutan ‘ng’. Contohnya, ‘makan’ tetapi ia bertukar menjadi ‘makang’.

Selain memerangi penyelewengan aqidah yang boleh dianggap sebagai jenayah, Tukku Paloh juga merupakan antara tokoh Melayu yang banyak mencetuskan semangat patriotisme bagi menentang penjajahan British.

Disebabkan tahap keilmuan yang tinggi, ditambah dengan sifatnya yang warak, nama Tukku Paloh turut menjadi sebutan ramai pada zamannya.

Tokoh yang pernah menuntut ilmu sekitar 10 tahun di Mekah ini dikatakan juga seorang pengamal tasawwuf yang tinggi serta dikenali sebagai pemimpin Tariqat Naqsyabandiyah.

Gelaran

Justeru, tidak hairanlah ramai yang menggelar beliau dengan gelaran Engku Sayyid Keramat kerana banyak peristiwa-peristiwa aneh yang berlaku ketika hidupnya.

“Antaranya pernah diceritakan orang seorang wakil British tidak dapat bangun daripada duduknya ketika berdepan dengan Tukku Paloh. Dia menjadi tergamam dan seperti tidak tahu hendak buat apa apabila berdepan dengan Tukku Paloh. Itu antara kekeramatan Allahyarham yang pernah diceritakan orang.

“Perkara itu tidak menghairankan kerana ia sudah banyak berlaku ke atas orang yang berilmu dan warak seperti Tukku Paloh. Mungkin itu kelebihan yang Allah berikan kepada beliau,” ujar Mohd. Taufik.

Dalam pada itu, beliau bukan sahaja mengkagumi isi kandungan kitab-kitab karangan Tukku Paloh tetapi turut mengkaji tentang keperibadian tokoh yang disegani ramai itu.

Malah, Mohd. Taufik mencadangkan agar usaha-usaha tertentu dilakukan bagi mengetengahkan lagi watak Tukku Paloh untuk dihayati serta diteladani oleh generasi muda hari ini.

“Banyak perkara yang boleh kita pelajari misalnya, kesungguhan Tukku Paloh dalam usaha mencari ilmu dan mengamalkan apa yang beliau pelajari. Sifat keperwiraan yang ada pada diri Tukku Paloh juga patut dihayati supaya ia menjadi inspirasi kepada generasi hari ini.

“Kalau selama ini kita mudah mengangkat tokoh-tokoh luar dalam filem, drama atau komik, mengapa tiada usaha dilakukan untuk menterjemahkan perjuangan Tukku Paloh dalam konteks kehidupan kita pada hari ini?” soalnya.

Oleh Abd. Aziz Itar

Monday, September 8, 2008

Teori 31hb Ogos Tajol tidak menjadi, Bagaimana pula teori 16 September Anwar?

Oleh : Mohd Shuhaimi Al-Maniri

Detik 31hb. Ogos tahun ini saya ikuti dengan penuh minat. Bukan sahaja kerana hari tersebut adalah hari kemerdekaan Malaysia yang disambut secara hambar diseluruh negara, tetapi lebih penting ramai yang menunggu benarkah Kerajaan Pakatan Rakyat Perak akan bertukartangan semula kepada UMNO dan Barisan Nasional?


Bila sahaja detik 31hb. Ogos bermula, saya segera SMS kepada salah seorang pegawai Menteri Besar Perak, ada ke cerita terbaru berhubung dengan pertukaran kerajaan pada 31hb. Ogos ni. Beliau hanya menjawab ringkas sahaja, setakat ini tak ada apa-apa berlaku dan Menteri Besar dijadualkan bersama Sultan menyambutnya dengan rakyat jelata pada 31hb. Ogos sebagaimana yang telah dijadualkan..


Teori 31 Ogos yang direkacipta oleh bekas Menteri Besar Perak, Dato Seri Tajol Rosli untuk mengambil alih Kerajaan Negeri Perak jelas sekali hanya sekadar menjadi mimpi UMNO/BN sahaja kerana Kerajaan camporan Pakatan Rakyat, PAS, DAP dan PKR Perak terus berdiri walaupun digugat dari segenap penjuru.


Konspirasi penahanan dua exco Perak dari PKR kerana dakwaan sogokan kewangan dan seksual oleh Badan Pencegahan Rasuah pada pertengahan Ogos menjelang Pilihanraya Kecil Permatang Pauh tempohari seakan-akan ada iras-iras ke arah kebenaran perancangan 31 Ogos peralihan kuasa kerajaan negeri.


Mantan Menteri Besar Perak tersebut menaruh harapan agar keteguhan kabinet Nizar akan tercalar ataupun terus tumbang kerana majoritinya hanya sangat tipis, 3 kerusi sahaja seperti kerajaan Kelantan pada tahun 2004-2008 yang lepas.


Bagaimanapun kerajaan Kelantan kekal sehingga pilihanraya umum pada 8hb. Mac, 2008 dengan majority satu kerusi setelah tewas kepada UMNO/BN dalam pilihanraya kecil Pengkalan Pasir ekoran kematian penyandangnya dari PAS.


Setakat ini teori Dato Seri Tajol tidak menjadi kenyataan. Jelaslah, teori 31 Ogos Tajol itu, tidak lebih daripada cubaan nakal untuk mempengaruhi minda rakyat bahawa kerajaan negeri Pakatan Rakyat tidak akan bertahan lama.


Sungguhpun ia tidak meninggalkan kesan kepada kerajaan Pakatan Rakyat di Perak, kerana kesemua 31 anggota Dewan undangan negeri Pakatan Rakyat terus kekal bersama Pakatan Rakyat meskipun berbagai cubaan dilakukan.


Setidak-tidaknya sedikit sebanyak menimbulkan kekeliruan rakyat kerana seluruh jentera kerajaan persekutuan terus berusaha merendah-rendahkan martabat kerajaan negeri Pakatan Rakyat dengan mewujudkan kerajaan dalam kerajaan seperti yang dilakukan di Kelantan dan lain-lain negeri yang diperintah oleh kerajaan Pakatan Rakyat.


Teori 16 September Anwar dinanti!


Minggu lepas, saya telah membicarakan berhubung dengan teori 16hb September yang semakin hangat dibicarakan dikalangan rakyat sekarang ini.


Bila saya tulis, 16 September : Anwar menjadi PM ?, ramai yang telefon, SMS dan sebagainya bertanya sama ada akan berlaku atau tidak pertukaran kerajaan UMNO/BN pimpinan Dato’ Seri Abdullah Badawi kepada sebuah kerajaan camporan yang baru.


Ramai yang menjangka saya tahun apa yang mereka tidak tahu berhubung dengan perkara ini. Apatah lagi saya kenal ramai dengan pemimpin-pemimpin kanan PAS dan PKR. Sesungguhnya, saya sendiri tak pasti, apakah teori 16 September ini benar-benar akan berlaku atau pun tidak, kerana kita tidak pernah menyaksikannya diperingkat kebangsaan.


Setakat yang saya tahu, hanya dua kali berlaku pertukaran kerajaan di luar musim pilihanraya, itu pun hanya di peringkat negeri. Kalau tidak silap ingatan saya, ianya berlaku di negeri saya, Terengganu pada tahun 1961 (saya belum lahir lagi ke dunia) bilamana UMNO merampas kerajaan Terengganu dari tangan PAS dalam satu undi tidak percaya.


Keduanya, adalah dalam tahun 1994 sekali lagi UMNO/BN menjuruterakan rampasan ‘kuasa politik’ kerajaan negeri Sabah dari tangan PBS dengan penubuhan beberapa parti-parti politik serpihan PBS.


Malah selepas pilihanraya umum 1969, ketika Perikatan UMNO-MCA-MIC tidak berjaya membentuk kerajaan negeri sebaik selepas keputusan pilihanraya, mereka berjaya ‘membeli’ ADUN pembangkang sehingga membolehkan mereka terus memerintah semula hinggalah pemerintahannya Berjaya disingkirkan dengan penubuhan kerajaan camporan PAS-DAP-PKR yang dinamakan Pakatan Pembangkang.


Sebab itu bila UMNO/BN merancang satu lagi rampasan kuasa politik melalui pintu belakang di Perak pada 31hb. Ogos, lepas perkara tersebut tidak boleh dipandang remeh kerana UMNO telah mempunyai track rekod melakukannya sebelum ini.


Bukan setakat rakyat biasa sahaja tertunggu-tunggu peristiwa tersebut, malah Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ir. Mohamad Nizar Jamaluddin juga turut menunggu detik-detik tersebut seperti katanya disiarkan sebelum ini, ketika berjumpa dan bersalam dengan mantan Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Tajol Rosli ketika sambutan Hari
Kemerdekaan pada 31hb. Ogos bersama dengan Tuanku Al-Sultan dan rakyat jelata, beliau juga menunggu kalau-kalau ada Pengerusi Perhubungan UMNO/BN Perak mengumumkan penubuhan kerajaan baru sebagaimana yang Datok Tajol dan UMNO Perak war-warkan sebelum ini.


Berbalik kepada teori 16hb. September ini, Ahmad Athory Husein seorang pensyarah dan pengkaji politik tanahair menyebut dalam politik tiada yang mustahil. Spekulasi menjadi semakin kencang, bila hanya seramai 20 orang sahaja Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak hadir mengadakan sidang akhbar menyatakan pendirian mereka setia dengan Perdana Menteri dan Barisan Nasional dari sejumlah 24 orang wakil BN Sabah dan 30 orang wakil BN Sarawak.


Kemana perginya 34 orang wakil BN Sabah dan Sarawak ini? Ini persoalan yang mengelirukan dan memeningkan kepala Perdana Menteri ? Adakah 34 orang ini yang dikatakan oleh Anwar akan berhijrah ke Pakatan Rakyat? Malah Azmin menambahnya kepada angka 43 orang Ahli MP akan berpindah kem.

Bukan setakat itu sahaja, malah MCA juga semakin tidak percaya kepada UMNO. Apatah lagi SAPP, sebuah parti Cina di Sabah menunggu masa sahaja untuk melompat keluar dari BN. Malah KIMMA yang selama ini bertenggek di tepi BN pun sudah mula mencari haluan lain bersama Pakatan rakyat.


Belum lagi sembut parut, isu keris Hishamuddin Tun Hussein yang ditakui kaum Cina dan India reda, sekali lagi UMNO terpaksa menerima desakan Gerakan dengan meminta maaf kepada kaum Cina dan India ekoran kenyataan pemimpin mereka di Pulau Pinang yang mula memusuhi keturunan Cina dan India bila telah kehilangan kuasa.


Menjelang 16hb. September ini, UMNO kelihatan gusar sekali. UMNO cukup bimbang Gerakan dan PPP
berpatah arang dengan BN dan kembali menjadi pembangkang semula bersama-sama dengan PAS seperti mana sebelum ini.


Beberapa kerajaan negeri Pakatan Rakyat, seperti Kelantan, Pulau Pinang dan lain-lain mula menerima cadangan Anwar untuk menjadikan tarikh 16hb. September sebagai cuti umum bagi memperingati kelahiran Malaysia.


Tarikh 16hb. September ini sangat bermakna bagi Sabah dan Sarawak. Apa yang pasti tarikh 16hb. September akan muncul sedikit hari lagi. Yang belum pasti adalah sama ada kerajaan pusat akan berjaya diganti, kerana pihak yang dipaksa berundur tentu tidak akan berdiam diri.


Sebagai pentup bicara kali ini dengan sebuah pantun berikut;

Pilihan ada ditangan Abdullah Badawi sebagai Perdana Menteri,

Bubar kerajaan Barisan Nasional, bentuk kerajaan Pakatan,

kalau tidak, serahkan mandat kepada rakyat sekali lagi.

Biar rakyat tentukan, Barulah Negara menjadi Aman

Tuesday, September 2, 2008

Anwar terus dengan rancangan 16 September.

Walaupun pelbagai reaksi yang timbul berkaitan pertukaran kerajaan sebagaimana dakwaan Penasihat PKR, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, beliau tetap mengadakan pertemuan secara tidak rasmi dengan wakil-wakil rakyat dari Barisan Nasional (BN) di ibu negara esok, seperti yang dijadualkan.

mStar Online melaporkan pertemuan Anwar adalah dipercayai bagi membincangkan soal wakil-wakil BN untuk menyertai Pakatan Rakyat.

Sumber mengesahkan bahawa pertemuan itu akan diadakan selepas pertemuan Anwar dengan ahli-ahli Parlimen PKR berhubung Bajet 2009 dan disusuli dengan sidang media pukul 11 pagi.

"Memang ada siri pertemuan Datuk Seri dengan wakil-wakil rakyat (BN)," kata sumber ketika dihubungi hari ini.

Kata sumber itu, wakil-wakil rakyat berkenaan termasuk mereka dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak - antara lain yang sudah memberi laluan bagi membentuk kerajaan baru persekutuan.

Kelmarin Anwar mengulangi sasaran 16 September masih kekal dan menegaskan, beliau mempunyai agenda ketat mengadakan pertemuan dengan wakil-wakil rakyat BN dalam tempoh beberapa hari akan datang bagi membincangkan soal menyertai Pakatan Rakyat.

Laporan media menyebut, Anwar sekali lagi menekankan perkara itu di pada majlis makan malam Permatang Pauh semalam.

Difahamkan pada Khamis lalu beliau telah mengadakan pertemuan dengan enam wakil rakyat BN dari Sarawak di ibu negara - beberapa jam selepas mengangkat sumpah sebagai anggota Dewan Rakyat.

Malah Anwar juga dikatakan telah dijemput untuk menghadiri pertemuan khas dengan ahli-ahli Parlimen Sarawak di Kuching semalam.

Selepas mengangkat sumpah, desas-desus timbul mengatakan 40 hingga 50 wakil rakyat sudah menyatakan kesediaan untuk melompat parti, walaupun sebahagian wakil-wakil BN tersebut telah menandatangani akujanji taat setia kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Saturday, August 30, 2008

Kemenangan Anwar - trend rakyat tolak BN semakin relevan?

Kecenderungan pengundi memilih pakatan pembangkang pada pilihan raya kecil Permatang Pauh membuktikan bahawa trend penolakan rakyat terhadap parti kerajaan semakin kuat.


Penganalisis politik tempatan, Profesor Dr. Mohamad Mustafa Ishak berkata, mesej itu pada awalnya telah pun disampaikan oleh rakyat pada pilihan raya umum ke-12 yang lalu hingga menyebabkan lima negeri jatuh ke tangan pembangkang dan berlaku pertambahan kerusi mereka di Parlimen.


Sehubungan itu katanya, Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO selepas ini tidak harus memandang rendah terhadap keupayaan parti pembangkang pada pilihan raya akan datang, sebaliknya BN perlu menilai semula pengaruh serta kekuatan yang ada.


''Sekarang kita berada di era rakyat yang semakin berpendidikan. Mereka tahu membuat penilaian. Mereka tidak lagi boleh disogok dengan janji-janji pembangunan semata-mata.


''Sebenarnya mereka mahu lebih daripada itu. Mereka mahukan kerajaan yang lebih adil, telus dan bertanggungjawab. Mereka mahukan kerajaan yang lebih prihatin terhadap isu yang berkaitan dengan kebajikan rakyat,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.


Utusan memetik kata-kata Mohamamad ketika beliau mengulas kenyataan Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang melahirkan kebimbangan mengenai keputusan memberikan kemenangan kepada pembangkang dalam pilihan raya akan menjadi trend kerana para pengundi mahukan perubahan.


Kebimbangan Muhyiddin itu berikutan kejayaan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengekalkan penguasaan parti itu di kerusi Parlimen Permatang Pauh apabila memenangi pilihan raya kecil kawasan itu dengan majoriti 15,671 undi.


Jumlah itu lebih besar berbanding 13,388 undi majoriti yang diperoleh PKR pada pilihan raya umum Mac lalu melalui isteri Anwar, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.


Mohamad Mustafa yang juga Dekan Pasca Siswazah dan Penyelidikan Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, sudah tiba masanya BN berubah sekiranya parti itu mahu terus relevan.


''Saya sendiri menjadi takut apabila melihat keadaan yang berlaku dalam BN dan UMNO khususnya. Kita tidak boleh salahkan rakyat kerana mereka tiada pilihan. Mereka pilih PKR kerana mereka 'mual' dengan UMNO.


''Kegagalan BN menyampaikan mesej kepada pengundi Permatang Pauh juga menjadi faktor kekalahan mereka selain daripada faktor kekuatan Anwar sendiri,'' katanya.


Beliau berkata, semua pihak harus sedar bahawa pilihan raya kecil itu merupakan pilihan raya kecil pertama selepas pilihan raya umum lalu.


Sementara itu seorang lagi penganalisis politik, Prof. Madya Dr. Agus Yusof berkata, kemenangan Anwar dalam pilihan raya kecil itu merupakan kejayaannya menonjolkan diri sebagai pemimpin rakyat.


Sehubungan itu beliau berkata, tidak hairanlah setiap ceramah yang dihadiri Anwar sepanjang tempoh berkempen berjaya menarik beribu-ribu rakyat.


''Bagi saya BN tidak mahu belajar daripada kesilapan. Mereka gagal memberi mesej kepada rakyat berbanding Anwar. Anwar lebih mengetahui kehendak rakyat berbanding BN,'' tambahnya.

Monday, August 11, 2008

Semoga Tiada Emas Di Olimpik

Di antara perbualan ramai, selain isu forum Majlis Peguam, di majlis-majlis kenduri di hujung minggu baru-baru ini ialah sukan Olimpik. Ada yang bercerita kemeriahan majlis pembukaan sukan di kota Beijing tersebut. Malangnya (untungnya), IB tidak minta sangat dengan sukan Olimpik untuk menonton siaran tersebut.

Maka IB beralih berbual-bual dengan saudara mara yang datang dari kampung untuk menghadiri jamuan kenduri. Pokok perbualan mereka ialah kesukaran hidup dengan keadaan harga barangan yang meningkat dan ramai lagi saudara mara yang tidak dapat datang semata-mata kerana mereka benar-benar tidak cukup wang untuk tambang bas pergi dan balik.

Begitulah keperitan yang dirasai mereka - orang kebanyakan. Mungkin yang “sombong” dan menunjuk-nunjuk yang tidak ingin menerima suasana atau mengakui mereka kini kesempitan kewangan sahaja yang masih bermewah. Tetapi bermewah dalam keadaan berhutang sebenarnya.

Orang kebanyakan terpaksa mencatu pelbagai keinginan demi untuk membeli barang keperluan yang kian meningkat harganya. Orang kebanyakan ini tidak mampu untuk mengguna kad plastik.

Dalam perbualan dengan saudara-mara yang ternyata mengalami keperitan hidup ini terluahlah komen-komen berhubung pelbagai pembaziran yang dilakukan oleh kerajaan, syarikat-syarikat konglomerat termasuk GLC dan sesetengah tokoh korporat.

Selari dengan perkembangan sukan Olimpik, kebanyakkan mereka sepakat membantah hasrat kerajaan untuk mencurah jutaan RM lagi untuk mana-mana pemenang yang bakal membawa pulang pingat. Malah mereka mendoakan agar kontingen Malaysia tidak memperolehi apa-apa pingat - apatah lagi pingat emas.

Kenapakah mesti seorang itu mendapat wang sejuta RM walhal dengan wang sejuta boleh membantu ratusan usahawan kecil untuk mula berniaga. Dengan jumlah wang yang besar tersebut banyak yang orang kebanyakan boleh manfaat dengan cara berpanjangan.

Untuk persediannya para peserta olimpik ini telah dimanjakan dengan pelbagai pembelajaan wang ringgit yang besar - tidak itu sudah cukup untuk membelai mereka ini. Apakah mereka ini boleh mencapai tahap untuk memampukan mereka menyertai Olimpik jika “subsidi9 D yang selama ini tidak dicurahkan. Apakah mampu mereka berjaya tanpa bantuan kewangan yang diberi? Jutaan ringgit untuk segelintir kecil berbanding dengan jumlah yang sama boleh dimanfaatkan oleh ratusan dan mungkin ribuan yang lain yang mampu memimpin mereka keluar dari tahap kemiskinan.

Apakah mereka yang mempersoalkan pembelanjaan mewah untuk sukan boleh dikatakan sebagai tidak patriotik? Kisah pembaziran untuk membina pusat sukan cemerlang di kota London masih belum terjawab. Apakah mereka yang membazir wang rakyat patut dipanggil tidak patriotik?

Ibrahim Baba

Perjuangan Yang Berbaloi

Oleh: Bijaksana_Bijaksini

Seringkali terlintas di benak fikiran saya apabila melihat perjuangan mereka (orang Islam) yang terlibat dalam politik baik penyokong mahupun pemimpin “apakah matlamat perjuangan mereka?”. Adakah kerana nak dapatkan pangkat atau kuasa atau populariti atau menegakkan keadilan atau menegakkan demokrasi atau menegakkan kebebasan atau menegakkan Islam atau apa-apa saja yang empunya diri sahaja mengetahuinya. Orang lain hanya mampu menghukum berdasarkan kepada zahir. Soal hati hanya Allah yang tahu. Tapi kebiasaannya hati itu digambarkan oleh tindakan zahir. Sebab itulah kita diminta untuk membuat sesuatu hukuman berdasarkan kepada zahir.

Orang UMNO secara zahirnya sudah tentulah berjuang untuk menegakkan bangsa Melayu kerana asas perjuangan UMNO ialah bangsa. Mungkin juga sebahagian mereka ingin menegakkan Islam melalui UMNO. Mereka nampak hanya melalui UMNO sahaja Islam dapat dipertahankan. Sebahagian mereka juga tidak berjuang untuk bangsa mahupunpun agama tetapi kerana nakkan kuasa. Dengan kuasa boleh membolot harta. Orang PKRpun begitulah juga. Apa matlamat perjuangan mereka? untuk Melayu? untuk Islam? untuk kebebasan? untuk keadilan? untuk demokrasi? untuk bangsa Malaysia? PKR lagi sukar untuk difahami kerana agenda perjuangannya bukan berasaskan Melayu dan Islam tetapi diasaskan pada keadilan dan kesamaan. Keadilan dan kesamaan dari kacamata mana pula?. Itupun masih samar-samar bagi diriku yang mentah politik ini.
Dasar PAS pula adalah Islam. Pemimpinnya berjuang menegakkan Islam. Mungkin tidak semua. Begitu juga dengan ahlinya. Tentu juga ada di kalangan mereka ini yang berjuang untuk keduniaan. Walaupun begitu hukum adalah berdasarkan zahir. Zahir memperjuangkan Islam, zahir itulah gambaran batin.

Pejuang-pejuang UMNO berjuang dalam suasana agak selesa dan ‘perut penuh’ kerana mereka berkuasa. Pejuang-pejuang PKR dan PAS berjuang dalam susah payah turun naik penjara, disekat sana dan sini, ditindas, dinafikan hak dan bermacam-macam halangan yang dikenakan. Sudah adat perjuangan apabila melalui kepayahan akan ada yang gugur tetapi akan ada juga yang kekal jasad dan jiwanya utuh berjuang walauapapun matlamat perjuangannya.
Persoalannya adakah berbaloi seorang pejuang bersusah payah mengharungi serba serbi kesusahan dan kapayahan dalam perjuangan? Kejayaan mendapat kuasa daripada perjuangan tidak semestinya bermaksud seseorang pejuang itu sudah berjaya. Berbaloi dan berjaya seseorang pejuang hanya apabila perjuangannya beragendakan meninggikan Islam dengan bermatlamatkan keredaan Allah. Susah payahnya berbaloi kerana ia dikira amal ibadat. Matinya dalam perjuangan juga berbaloi keran mungkin ianya mati syahid. Sekiranya tidak syahidpun, matinya dalam husnul khatimah. Oleh itu, wahai pejuang-pejuang (orang Islam) di dalam mana-mana partipun, juruskanlah perjuangan anda ke arah perjuangan meninggikan Islam bermatlamatkan keredaan Allah.

Tetapi harus disedari juga bahawa wadah perjuangan meninggikan Islam tentulah parti yang meletakkan al Quran dan sunnah sebagai asasnya. Jika tidak, tentulah perjuangan tersebut akan menyimpang walaupun asal niat seorang pejuang itu betul untuk Islam. Seorang pejuang lemah apabila berseorangan. Dia kuat apabila berada dalam satu kumpulan. Kumpulanlah yang banyak mempengaruhinya. Jika kumpulan itu tidak bertunjangkan Islam, dikhuatiri seorang pejuang akan hanyut mengikut arus kumpulan tersebut.

Justeru itu, biarlah perjuangan kita berbaloi dunia dan akhirat. Bukan hanya sekadar dunia. Bukan hanya bertujuan mendapat kuasa atau menegakkan demokrasi atau keadilan atau kebebebasan semata-mata tetapi biarlah ianya dibina di atas asas yang kukuh iaitu meninggikan kalimah Allah di atas muka bumi ini. Barulah perjuangannya akan diberkati. Segala penat lelah, kesakitan dan kepayahan akan dinilai oleh Allah sebagai satu sumbangan yang besar yang balasannya adalah syurga yang kekal abadi. Adakah kita mahu hanya dunia sahaja atau kedua-dua dunia dan akhirat? Tepuk dada tanyalah iman.