Monday, September 8, 2008

Teori 31hb Ogos Tajol tidak menjadi, Bagaimana pula teori 16 September Anwar?

Oleh : Mohd Shuhaimi Al-Maniri

Detik 31hb. Ogos tahun ini saya ikuti dengan penuh minat. Bukan sahaja kerana hari tersebut adalah hari kemerdekaan Malaysia yang disambut secara hambar diseluruh negara, tetapi lebih penting ramai yang menunggu benarkah Kerajaan Pakatan Rakyat Perak akan bertukartangan semula kepada UMNO dan Barisan Nasional?


Bila sahaja detik 31hb. Ogos bermula, saya segera SMS kepada salah seorang pegawai Menteri Besar Perak, ada ke cerita terbaru berhubung dengan pertukaran kerajaan pada 31hb. Ogos ni. Beliau hanya menjawab ringkas sahaja, setakat ini tak ada apa-apa berlaku dan Menteri Besar dijadualkan bersama Sultan menyambutnya dengan rakyat jelata pada 31hb. Ogos sebagaimana yang telah dijadualkan..


Teori 31 Ogos yang direkacipta oleh bekas Menteri Besar Perak, Dato Seri Tajol Rosli untuk mengambil alih Kerajaan Negeri Perak jelas sekali hanya sekadar menjadi mimpi UMNO/BN sahaja kerana Kerajaan camporan Pakatan Rakyat, PAS, DAP dan PKR Perak terus berdiri walaupun digugat dari segenap penjuru.


Konspirasi penahanan dua exco Perak dari PKR kerana dakwaan sogokan kewangan dan seksual oleh Badan Pencegahan Rasuah pada pertengahan Ogos menjelang Pilihanraya Kecil Permatang Pauh tempohari seakan-akan ada iras-iras ke arah kebenaran perancangan 31 Ogos peralihan kuasa kerajaan negeri.


Mantan Menteri Besar Perak tersebut menaruh harapan agar keteguhan kabinet Nizar akan tercalar ataupun terus tumbang kerana majoritinya hanya sangat tipis, 3 kerusi sahaja seperti kerajaan Kelantan pada tahun 2004-2008 yang lepas.


Bagaimanapun kerajaan Kelantan kekal sehingga pilihanraya umum pada 8hb. Mac, 2008 dengan majority satu kerusi setelah tewas kepada UMNO/BN dalam pilihanraya kecil Pengkalan Pasir ekoran kematian penyandangnya dari PAS.


Setakat ini teori Dato Seri Tajol tidak menjadi kenyataan. Jelaslah, teori 31 Ogos Tajol itu, tidak lebih daripada cubaan nakal untuk mempengaruhi minda rakyat bahawa kerajaan negeri Pakatan Rakyat tidak akan bertahan lama.


Sungguhpun ia tidak meninggalkan kesan kepada kerajaan Pakatan Rakyat di Perak, kerana kesemua 31 anggota Dewan undangan negeri Pakatan Rakyat terus kekal bersama Pakatan Rakyat meskipun berbagai cubaan dilakukan.


Setidak-tidaknya sedikit sebanyak menimbulkan kekeliruan rakyat kerana seluruh jentera kerajaan persekutuan terus berusaha merendah-rendahkan martabat kerajaan negeri Pakatan Rakyat dengan mewujudkan kerajaan dalam kerajaan seperti yang dilakukan di Kelantan dan lain-lain negeri yang diperintah oleh kerajaan Pakatan Rakyat.


Teori 16 September Anwar dinanti!


Minggu lepas, saya telah membicarakan berhubung dengan teori 16hb September yang semakin hangat dibicarakan dikalangan rakyat sekarang ini.


Bila saya tulis, 16 September : Anwar menjadi PM ?, ramai yang telefon, SMS dan sebagainya bertanya sama ada akan berlaku atau tidak pertukaran kerajaan UMNO/BN pimpinan Dato’ Seri Abdullah Badawi kepada sebuah kerajaan camporan yang baru.


Ramai yang menjangka saya tahun apa yang mereka tidak tahu berhubung dengan perkara ini. Apatah lagi saya kenal ramai dengan pemimpin-pemimpin kanan PAS dan PKR. Sesungguhnya, saya sendiri tak pasti, apakah teori 16 September ini benar-benar akan berlaku atau pun tidak, kerana kita tidak pernah menyaksikannya diperingkat kebangsaan.


Setakat yang saya tahu, hanya dua kali berlaku pertukaran kerajaan di luar musim pilihanraya, itu pun hanya di peringkat negeri. Kalau tidak silap ingatan saya, ianya berlaku di negeri saya, Terengganu pada tahun 1961 (saya belum lahir lagi ke dunia) bilamana UMNO merampas kerajaan Terengganu dari tangan PAS dalam satu undi tidak percaya.


Keduanya, adalah dalam tahun 1994 sekali lagi UMNO/BN menjuruterakan rampasan ‘kuasa politik’ kerajaan negeri Sabah dari tangan PBS dengan penubuhan beberapa parti-parti politik serpihan PBS.


Malah selepas pilihanraya umum 1969, ketika Perikatan UMNO-MCA-MIC tidak berjaya membentuk kerajaan negeri sebaik selepas keputusan pilihanraya, mereka berjaya ‘membeli’ ADUN pembangkang sehingga membolehkan mereka terus memerintah semula hinggalah pemerintahannya Berjaya disingkirkan dengan penubuhan kerajaan camporan PAS-DAP-PKR yang dinamakan Pakatan Pembangkang.


Sebab itu bila UMNO/BN merancang satu lagi rampasan kuasa politik melalui pintu belakang di Perak pada 31hb. Ogos, lepas perkara tersebut tidak boleh dipandang remeh kerana UMNO telah mempunyai track rekod melakukannya sebelum ini.


Bukan setakat rakyat biasa sahaja tertunggu-tunggu peristiwa tersebut, malah Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ir. Mohamad Nizar Jamaluddin juga turut menunggu detik-detik tersebut seperti katanya disiarkan sebelum ini, ketika berjumpa dan bersalam dengan mantan Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Tajol Rosli ketika sambutan Hari
Kemerdekaan pada 31hb. Ogos bersama dengan Tuanku Al-Sultan dan rakyat jelata, beliau juga menunggu kalau-kalau ada Pengerusi Perhubungan UMNO/BN Perak mengumumkan penubuhan kerajaan baru sebagaimana yang Datok Tajol dan UMNO Perak war-warkan sebelum ini.


Berbalik kepada teori 16hb. September ini, Ahmad Athory Husein seorang pensyarah dan pengkaji politik tanahair menyebut dalam politik tiada yang mustahil. Spekulasi menjadi semakin kencang, bila hanya seramai 20 orang sahaja Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak hadir mengadakan sidang akhbar menyatakan pendirian mereka setia dengan Perdana Menteri dan Barisan Nasional dari sejumlah 24 orang wakil BN Sabah dan 30 orang wakil BN Sarawak.


Kemana perginya 34 orang wakil BN Sabah dan Sarawak ini? Ini persoalan yang mengelirukan dan memeningkan kepala Perdana Menteri ? Adakah 34 orang ini yang dikatakan oleh Anwar akan berhijrah ke Pakatan Rakyat? Malah Azmin menambahnya kepada angka 43 orang Ahli MP akan berpindah kem.

Bukan setakat itu sahaja, malah MCA juga semakin tidak percaya kepada UMNO. Apatah lagi SAPP, sebuah parti Cina di Sabah menunggu masa sahaja untuk melompat keluar dari BN. Malah KIMMA yang selama ini bertenggek di tepi BN pun sudah mula mencari haluan lain bersama Pakatan rakyat.


Belum lagi sembut parut, isu keris Hishamuddin Tun Hussein yang ditakui kaum Cina dan India reda, sekali lagi UMNO terpaksa menerima desakan Gerakan dengan meminta maaf kepada kaum Cina dan India ekoran kenyataan pemimpin mereka di Pulau Pinang yang mula memusuhi keturunan Cina dan India bila telah kehilangan kuasa.


Menjelang 16hb. September ini, UMNO kelihatan gusar sekali. UMNO cukup bimbang Gerakan dan PPP
berpatah arang dengan BN dan kembali menjadi pembangkang semula bersama-sama dengan PAS seperti mana sebelum ini.


Beberapa kerajaan negeri Pakatan Rakyat, seperti Kelantan, Pulau Pinang dan lain-lain mula menerima cadangan Anwar untuk menjadikan tarikh 16hb. September sebagai cuti umum bagi memperingati kelahiran Malaysia.


Tarikh 16hb. September ini sangat bermakna bagi Sabah dan Sarawak. Apa yang pasti tarikh 16hb. September akan muncul sedikit hari lagi. Yang belum pasti adalah sama ada kerajaan pusat akan berjaya diganti, kerana pihak yang dipaksa berundur tentu tidak akan berdiam diri.


Sebagai pentup bicara kali ini dengan sebuah pantun berikut;

Pilihan ada ditangan Abdullah Badawi sebagai Perdana Menteri,

Bubar kerajaan Barisan Nasional, bentuk kerajaan Pakatan,

kalau tidak, serahkan mandat kepada rakyat sekali lagi.

Biar rakyat tentukan, Barulah Negara menjadi Aman

No comments: