Oleh: Bijaksana_Bijaksini
Seringkali terlintas di benak fikiran saya apabila melihat perjuangan mereka (orang Islam) yang terlibat dalam politik baik penyokong mahupun pemimpin “apakah matlamat perjuangan mereka?”. Adakah kerana nak dapatkan pangkat atau kuasa atau populariti atau menegakkan keadilan atau menegakkan demokrasi atau menegakkan kebebasan atau menegakkan Islam atau apa-apa saja yang empunya diri sahaja mengetahuinya. Orang lain hanya mampu menghukum berdasarkan kepada zahir. Soal hati hanya Allah yang tahu. Tapi kebiasaannya hati itu digambarkan oleh tindakan zahir. Sebab itulah kita diminta untuk membuat sesuatu hukuman berdasarkan kepada zahir.
Orang UMNO secara zahirnya sudah tentulah berjuang untuk menegakkan bangsa Melayu kerana asas perjuangan UMNO ialah bangsa. Mungkin juga sebahagian mereka ingin menegakkan Islam melalui UMNO. Mereka nampak hanya melalui UMNO sahaja Islam dapat dipertahankan. Sebahagian mereka juga tidak berjuang untuk bangsa mahupunpun agama tetapi kerana nakkan kuasa. Dengan kuasa boleh membolot harta. Orang PKRpun begitulah juga. Apa matlamat perjuangan mereka? untuk Melayu? untuk Islam? untuk kebebasan? untuk keadilan? untuk demokrasi? untuk bangsa Malaysia? PKR lagi sukar untuk difahami kerana agenda perjuangannya bukan berasaskan Melayu dan Islam tetapi diasaskan pada keadilan dan kesamaan. Keadilan dan kesamaan dari kacamata mana pula?. Itupun masih samar-samar bagi diriku yang mentah politik ini.
Dasar PAS pula adalah Islam. Pemimpinnya berjuang menegakkan Islam. Mungkin tidak semua. Begitu juga dengan ahlinya. Tentu juga ada di kalangan mereka ini yang berjuang untuk keduniaan. Walaupun begitu hukum adalah berdasarkan zahir. Zahir memperjuangkan Islam, zahir itulah gambaran batin.
Pejuang-pejuang UMNO berjuang dalam suasana agak selesa dan ‘perut penuh’ kerana mereka berkuasa. Pejuang-pejuang PKR dan PAS berjuang dalam susah payah turun naik penjara, disekat sana dan sini, ditindas, dinafikan hak dan bermacam-macam halangan yang dikenakan. Sudah adat perjuangan apabila melalui kepayahan akan ada yang gugur tetapi akan ada juga yang kekal jasad dan jiwanya utuh berjuang walauapapun matlamat perjuangannya.
Persoalannya adakah berbaloi seorang pejuang bersusah payah mengharungi serba serbi kesusahan dan kapayahan dalam perjuangan? Kejayaan mendapat kuasa daripada perjuangan tidak semestinya bermaksud seseorang pejuang itu sudah berjaya. Berbaloi dan berjaya seseorang pejuang hanya apabila perjuangannya beragendakan meninggikan Islam dengan bermatlamatkan keredaan Allah. Susah payahnya berbaloi kerana ia dikira amal ibadat. Matinya dalam perjuangan juga berbaloi keran mungkin ianya mati syahid. Sekiranya tidak syahidpun, matinya dalam husnul khatimah. Oleh itu, wahai pejuang-pejuang (orang Islam) di dalam mana-mana partipun, juruskanlah perjuangan anda ke arah perjuangan meninggikan Islam bermatlamatkan keredaan Allah.
Tetapi harus disedari juga bahawa wadah perjuangan meninggikan Islam tentulah parti yang meletakkan al Quran dan sunnah sebagai asasnya. Jika tidak, tentulah perjuangan tersebut akan menyimpang walaupun asal niat seorang pejuang itu betul untuk Islam. Seorang pejuang lemah apabila berseorangan. Dia kuat apabila berada dalam satu kumpulan. Kumpulanlah yang banyak mempengaruhinya. Jika kumpulan itu tidak bertunjangkan Islam, dikhuatiri seorang pejuang akan hanyut mengikut arus kumpulan tersebut.
Justeru itu, biarlah perjuangan kita berbaloi dunia dan akhirat. Bukan hanya sekadar dunia. Bukan hanya bertujuan mendapat kuasa atau menegakkan demokrasi atau keadilan atau kebebebasan semata-mata tetapi biarlah ianya dibina di atas asas yang kukuh iaitu meninggikan kalimah Allah di atas muka bumi ini. Barulah perjuangannya akan diberkati. Segala penat lelah, kesakitan dan kepayahan akan dinilai oleh Allah sebagai satu sumbangan yang besar yang balasannya adalah syurga yang kekal abadi. Adakah kita mahu hanya dunia sahaja atau kedua-dua dunia dan akhirat? Tepuk dada tanyalah iman.
Monday, August 11, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment