Saturday, August 30, 2008

Kemenangan Anwar - trend rakyat tolak BN semakin relevan?

Kecenderungan pengundi memilih pakatan pembangkang pada pilihan raya kecil Permatang Pauh membuktikan bahawa trend penolakan rakyat terhadap parti kerajaan semakin kuat.


Penganalisis politik tempatan, Profesor Dr. Mohamad Mustafa Ishak berkata, mesej itu pada awalnya telah pun disampaikan oleh rakyat pada pilihan raya umum ke-12 yang lalu hingga menyebabkan lima negeri jatuh ke tangan pembangkang dan berlaku pertambahan kerusi mereka di Parlimen.


Sehubungan itu katanya, Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO selepas ini tidak harus memandang rendah terhadap keupayaan parti pembangkang pada pilihan raya akan datang, sebaliknya BN perlu menilai semula pengaruh serta kekuatan yang ada.


''Sekarang kita berada di era rakyat yang semakin berpendidikan. Mereka tahu membuat penilaian. Mereka tidak lagi boleh disogok dengan janji-janji pembangunan semata-mata.


''Sebenarnya mereka mahu lebih daripada itu. Mereka mahukan kerajaan yang lebih adil, telus dan bertanggungjawab. Mereka mahukan kerajaan yang lebih prihatin terhadap isu yang berkaitan dengan kebajikan rakyat,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.


Utusan memetik kata-kata Mohamamad ketika beliau mengulas kenyataan Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang melahirkan kebimbangan mengenai keputusan memberikan kemenangan kepada pembangkang dalam pilihan raya akan menjadi trend kerana para pengundi mahukan perubahan.


Kebimbangan Muhyiddin itu berikutan kejayaan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengekalkan penguasaan parti itu di kerusi Parlimen Permatang Pauh apabila memenangi pilihan raya kecil kawasan itu dengan majoriti 15,671 undi.


Jumlah itu lebih besar berbanding 13,388 undi majoriti yang diperoleh PKR pada pilihan raya umum Mac lalu melalui isteri Anwar, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.


Mohamad Mustafa yang juga Dekan Pasca Siswazah dan Penyelidikan Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, sudah tiba masanya BN berubah sekiranya parti itu mahu terus relevan.


''Saya sendiri menjadi takut apabila melihat keadaan yang berlaku dalam BN dan UMNO khususnya. Kita tidak boleh salahkan rakyat kerana mereka tiada pilihan. Mereka pilih PKR kerana mereka 'mual' dengan UMNO.


''Kegagalan BN menyampaikan mesej kepada pengundi Permatang Pauh juga menjadi faktor kekalahan mereka selain daripada faktor kekuatan Anwar sendiri,'' katanya.


Beliau berkata, semua pihak harus sedar bahawa pilihan raya kecil itu merupakan pilihan raya kecil pertama selepas pilihan raya umum lalu.


Sementara itu seorang lagi penganalisis politik, Prof. Madya Dr. Agus Yusof berkata, kemenangan Anwar dalam pilihan raya kecil itu merupakan kejayaannya menonjolkan diri sebagai pemimpin rakyat.


Sehubungan itu beliau berkata, tidak hairanlah setiap ceramah yang dihadiri Anwar sepanjang tempoh berkempen berjaya menarik beribu-ribu rakyat.


''Bagi saya BN tidak mahu belajar daripada kesilapan. Mereka gagal memberi mesej kepada rakyat berbanding Anwar. Anwar lebih mengetahui kehendak rakyat berbanding BN,'' tambahnya.

Monday, August 11, 2008

Semoga Tiada Emas Di Olimpik

Di antara perbualan ramai, selain isu forum Majlis Peguam, di majlis-majlis kenduri di hujung minggu baru-baru ini ialah sukan Olimpik. Ada yang bercerita kemeriahan majlis pembukaan sukan di kota Beijing tersebut. Malangnya (untungnya), IB tidak minta sangat dengan sukan Olimpik untuk menonton siaran tersebut.

Maka IB beralih berbual-bual dengan saudara mara yang datang dari kampung untuk menghadiri jamuan kenduri. Pokok perbualan mereka ialah kesukaran hidup dengan keadaan harga barangan yang meningkat dan ramai lagi saudara mara yang tidak dapat datang semata-mata kerana mereka benar-benar tidak cukup wang untuk tambang bas pergi dan balik.

Begitulah keperitan yang dirasai mereka - orang kebanyakan. Mungkin yang “sombong” dan menunjuk-nunjuk yang tidak ingin menerima suasana atau mengakui mereka kini kesempitan kewangan sahaja yang masih bermewah. Tetapi bermewah dalam keadaan berhutang sebenarnya.

Orang kebanyakan terpaksa mencatu pelbagai keinginan demi untuk membeli barang keperluan yang kian meningkat harganya. Orang kebanyakan ini tidak mampu untuk mengguna kad plastik.

Dalam perbualan dengan saudara-mara yang ternyata mengalami keperitan hidup ini terluahlah komen-komen berhubung pelbagai pembaziran yang dilakukan oleh kerajaan, syarikat-syarikat konglomerat termasuk GLC dan sesetengah tokoh korporat.

Selari dengan perkembangan sukan Olimpik, kebanyakkan mereka sepakat membantah hasrat kerajaan untuk mencurah jutaan RM lagi untuk mana-mana pemenang yang bakal membawa pulang pingat. Malah mereka mendoakan agar kontingen Malaysia tidak memperolehi apa-apa pingat - apatah lagi pingat emas.

Kenapakah mesti seorang itu mendapat wang sejuta RM walhal dengan wang sejuta boleh membantu ratusan usahawan kecil untuk mula berniaga. Dengan jumlah wang yang besar tersebut banyak yang orang kebanyakan boleh manfaat dengan cara berpanjangan.

Untuk persediannya para peserta olimpik ini telah dimanjakan dengan pelbagai pembelajaan wang ringgit yang besar - tidak itu sudah cukup untuk membelai mereka ini. Apakah mereka ini boleh mencapai tahap untuk memampukan mereka menyertai Olimpik jika “subsidi9 D yang selama ini tidak dicurahkan. Apakah mampu mereka berjaya tanpa bantuan kewangan yang diberi? Jutaan ringgit untuk segelintir kecil berbanding dengan jumlah yang sama boleh dimanfaatkan oleh ratusan dan mungkin ribuan yang lain yang mampu memimpin mereka keluar dari tahap kemiskinan.

Apakah mereka yang mempersoalkan pembelanjaan mewah untuk sukan boleh dikatakan sebagai tidak patriotik? Kisah pembaziran untuk membina pusat sukan cemerlang di kota London masih belum terjawab. Apakah mereka yang membazir wang rakyat patut dipanggil tidak patriotik?

Ibrahim Baba

Perjuangan Yang Berbaloi

Oleh: Bijaksana_Bijaksini

Seringkali terlintas di benak fikiran saya apabila melihat perjuangan mereka (orang Islam) yang terlibat dalam politik baik penyokong mahupun pemimpin “apakah matlamat perjuangan mereka?”. Adakah kerana nak dapatkan pangkat atau kuasa atau populariti atau menegakkan keadilan atau menegakkan demokrasi atau menegakkan kebebasan atau menegakkan Islam atau apa-apa saja yang empunya diri sahaja mengetahuinya. Orang lain hanya mampu menghukum berdasarkan kepada zahir. Soal hati hanya Allah yang tahu. Tapi kebiasaannya hati itu digambarkan oleh tindakan zahir. Sebab itulah kita diminta untuk membuat sesuatu hukuman berdasarkan kepada zahir.

Orang UMNO secara zahirnya sudah tentulah berjuang untuk menegakkan bangsa Melayu kerana asas perjuangan UMNO ialah bangsa. Mungkin juga sebahagian mereka ingin menegakkan Islam melalui UMNO. Mereka nampak hanya melalui UMNO sahaja Islam dapat dipertahankan. Sebahagian mereka juga tidak berjuang untuk bangsa mahupunpun agama tetapi kerana nakkan kuasa. Dengan kuasa boleh membolot harta. Orang PKRpun begitulah juga. Apa matlamat perjuangan mereka? untuk Melayu? untuk Islam? untuk kebebasan? untuk keadilan? untuk demokrasi? untuk bangsa Malaysia? PKR lagi sukar untuk difahami kerana agenda perjuangannya bukan berasaskan Melayu dan Islam tetapi diasaskan pada keadilan dan kesamaan. Keadilan dan kesamaan dari kacamata mana pula?. Itupun masih samar-samar bagi diriku yang mentah politik ini.
Dasar PAS pula adalah Islam. Pemimpinnya berjuang menegakkan Islam. Mungkin tidak semua. Begitu juga dengan ahlinya. Tentu juga ada di kalangan mereka ini yang berjuang untuk keduniaan. Walaupun begitu hukum adalah berdasarkan zahir. Zahir memperjuangkan Islam, zahir itulah gambaran batin.

Pejuang-pejuang UMNO berjuang dalam suasana agak selesa dan ‘perut penuh’ kerana mereka berkuasa. Pejuang-pejuang PKR dan PAS berjuang dalam susah payah turun naik penjara, disekat sana dan sini, ditindas, dinafikan hak dan bermacam-macam halangan yang dikenakan. Sudah adat perjuangan apabila melalui kepayahan akan ada yang gugur tetapi akan ada juga yang kekal jasad dan jiwanya utuh berjuang walauapapun matlamat perjuangannya.
Persoalannya adakah berbaloi seorang pejuang bersusah payah mengharungi serba serbi kesusahan dan kapayahan dalam perjuangan? Kejayaan mendapat kuasa daripada perjuangan tidak semestinya bermaksud seseorang pejuang itu sudah berjaya. Berbaloi dan berjaya seseorang pejuang hanya apabila perjuangannya beragendakan meninggikan Islam dengan bermatlamatkan keredaan Allah. Susah payahnya berbaloi kerana ia dikira amal ibadat. Matinya dalam perjuangan juga berbaloi keran mungkin ianya mati syahid. Sekiranya tidak syahidpun, matinya dalam husnul khatimah. Oleh itu, wahai pejuang-pejuang (orang Islam) di dalam mana-mana partipun, juruskanlah perjuangan anda ke arah perjuangan meninggikan Islam bermatlamatkan keredaan Allah.

Tetapi harus disedari juga bahawa wadah perjuangan meninggikan Islam tentulah parti yang meletakkan al Quran dan sunnah sebagai asasnya. Jika tidak, tentulah perjuangan tersebut akan menyimpang walaupun asal niat seorang pejuang itu betul untuk Islam. Seorang pejuang lemah apabila berseorangan. Dia kuat apabila berada dalam satu kumpulan. Kumpulanlah yang banyak mempengaruhinya. Jika kumpulan itu tidak bertunjangkan Islam, dikhuatiri seorang pejuang akan hanyut mengikut arus kumpulan tersebut.

Justeru itu, biarlah perjuangan kita berbaloi dunia dan akhirat. Bukan hanya sekadar dunia. Bukan hanya bertujuan mendapat kuasa atau menegakkan demokrasi atau keadilan atau kebebebasan semata-mata tetapi biarlah ianya dibina di atas asas yang kukuh iaitu meninggikan kalimah Allah di atas muka bumi ini. Barulah perjuangannya akan diberkati. Segala penat lelah, kesakitan dan kepayahan akan dinilai oleh Allah sebagai satu sumbangan yang besar yang balasannya adalah syurga yang kekal abadi. Adakah kita mahu hanya dunia sahaja atau kedua-dua dunia dan akhirat? Tepuk dada tanyalah iman.